
Dalam kehidupan, banyak perkara yang kita pelajari secara tidak langsung daripada orang-orang terdekat, terutama sekali ibu bapa. Dalam konteks kewangan, seorang ayah sering menjadi simbol kestabilan, ketekunan dan kebijaksanaan dalam menguruskan wag. Meskipun zaman berubah, prinsip-prinsip asas kewangan yang mereka amalkan tetap relevan dan boleh dijadikan panduan untuk generasi masa kini.
Sempena Hari Bapa ini, berikut adalah 5 pengajaran kewangan paling bermakna yang sering datang daripada para bapa.
- 1. Hidup ikut kemampuan, bukan kehendak
Salah satu nasihat paling klasik yang sering kita dengar dari ayah ialah: “Belanja ikut kemampuan, jangan ikut orang.” Ayah kita mungkin bukan seorang pakar kewangan, tetapi mereka sangat faham konsep asas ini. Mereka tahu bahawa kestabilan kewangan bergantung kepada bagaimana seseorang mengawal perbelanjaan, bukan sekadar berapa banyak pendapatan.
Biasanya, ayah lebih cenderung untuk membeli barang-barang yang diperlukan sahaja, bukannya mengikut trend semasa atau tekanan sosial. Sikap berjimat cermat ini mengajar kita supaya tidak mudah terpengaruh dengan gaya hidup mewah yang kadangkala tidak setara dengan pendapatan sendiri.
Dalam dunia hari ini yang dipenuhi dengan iklan, media sosial, dan budaya “FOMO” (Fear of Missing Out), prinsip hidup sederhana dan berbelanja mengikut keperluan ini adalah lebih penting daripada sebelumnya. Mengawal kehendak dan membezakan antara ‘keperluan’ dan ‘kemahuan’ adalah kunci utama untuk mengelakkan masalah hutang dan tekanan kewangan.
“Kalau ada RM10 dalam dompet, buat cara ada RM10, bukan buat cara RM100.”

- 2. Pentingnya simpanan kecemasan
Sejak kecil, ramai antara kita pernah melihat ayah kita menyimpan wang di tempat-tempat tertentu – ada yang di bank, ada yang di dalam sampul khas, malah ada juga yang masih mengamalkan simpanan tunai di rumah. Walaupun caranya berbeza, mesej yang disampaikan tetap sama: kita perlu sentiasa bersedia untuk situasi tidak dijangka.
Simpanan kecemasan menjadi “bantal keselamatan” sekiranya berlaku perkara-perkara seperti kehilangan kerja, kecemasan kesihatan atau kerosakan kenderaan. Ayah kita mungkin tidak menggunakan istilah moden seperti “emergency fund”, tetapi mereka tahu dan sedar akan kepentingannya. Malah, ada sesetengah ayah yang mendisiplinkan diri dengan prinsip “simpan dulu, belanja kemudian” setiap kali menerima gaji.
Pengajaran ini sangat berguna dalam dunia moden yang serba pantas dan penuh ketidaktentuan. Pakar kewangan hari ini mengesyorkan simpanan kecemasan sekurang-kurangnya 3 higga 6 bulan gaji, namun asasnya tetap bersumber dari prinsip lama yang diajarkan ayah kita.

- 3. Jangan bergantung pada hutang
Bagi kebanyakan bapa-bapa dari generasi terdahulu, hutang adalah sesuatu yang mesti dielakkan kecuali benar-benar perlu. Mereka sangat berhati-hati sebelum membuat pinjaman atau menggunakan kad kredit. Sikap ini berakar dari pemahaman bahawa hutang, jika tidak diurus dengan baik, boleh menjadi beban jangka panjang yang menggugat kestabilan kewangan keluarga.
Ayah kita lebih cenderung menabung terlebih dahulu untuk membeli barang besar seperti motosikal, kereta atau bahkan rumah, berbanding terus membuat pinjaman tanpa memikirkan risiko komitmen bulanan yang tinggi.
Walaupun pada zaman sekarang, penggunaan hutang seperti pinjaman perumahan, pinjaman pelajaran atau kad kredit dilihat sebagai norma, pengajaran ayah ini mengingatkan kita supaya berhutang dengan penuh bertanggungjawab. Pastikan setiap hutang diambil dengan perancangan teliti dan kemampuan membayar semula tanpa mengorbankan keperluan asas keluarga.
- 4. Bijak mengurus pendapatan sampingan
Bukan rahsia lagi, ramai ayah yang tidak hanya bergantung kepada satu sumber pendapatan. Ada yang bekerja lebih masa, ada yang buat kerja sampingan seperti berniaga kecil-kecilan, bertani, atau melakukan kerja teknikal pada hujung minggu. Pengajaran utama di sini adalah kepelbagaian pendapatan dan usaha tanpa jemu. Ayah menunjukkan bahawa untuk mencapai kestabilan kewangan, kita perlu rajin mencari peluang dan tidak mudah bergantung pada satu sumber sahaja. Selain menambah pendapatan, kerja sampingan juga memberi ruang untuk membina kemahiran baru yang berpotensi membantu dalam jangka masa yang panjang. Dalam era digital kini, konsep pendapatan sampingan semakin relevan – sama ada melalui perniagaan dalam talian, pelaburan, atau ekonomi gig seperti menjadi pemandu e-hailing. Tetapi semangat rajin dan bijak mencari peluang seperti yang ditunjukkan oleh ayah adalah asas penting untuk berjaya.

- 5. Labur pada pendidikan & nilai diri
Mungkin tanpa sedar, ayah kita sudah lama mengamalkan prinsip pelaburan paling berharga: pelaburan dalam ilmu dan nilai diri. Bagi ramai ayah, menyediakan pendidikan terbaik untuk anak-anak adalah matlmat utama, walaupun perlu berkorban wang dan masa.
Mereka faham bahawa pendidikan bukan sekadar untuk mendapatkan kerja yang baik, tetapi juga membentuk disiplin, etika kerja, dan nilai murni yang menjadi bekal hidup. Ini adalah pelaburan jangka panjang yang memberikan pulangan bukan sahaja dalam bentuk kewangan, tetapi juga dari segi kualiti hidup anak-anak.
Hari ini, pelaburan dalam pendidikan bukan terhad kepada pendidikan formal sahaja. Ayah mengajar kita untuk sentiasa menimba ilmu baru, membaca, belajar kemahiran baharu dan terus meningkatkan diri. Sama ada dalam bentuk kursus, seminar atau pengalaman kerja, prinsip ini kekal relevan dalam dunia serba pantas dan kompetitif.
- Warisan bijak kewangan dari ayah
Pengajaran kewangan dari para bapa bukan semata-mata teori atau formula matematik, tetapi berpaksikan pengalaman hidup, kecekalan dan rasa tanggungjawab. Mereka mungkin tidak pernah berbicara tentang istilah seperti “pelaburan diversifikasi” atau “kadar faedah kompaun”, tetapi nilai-nilai asas yang mereka amalkan adalah asas kukuh untuk kewangan yang stabil.
Dalam menghadapi cabaran kewangan masa kini, kita boleh mengambil inspirasi daripada prinsip ayah: hidup sederhana, berjimat cermat, sentiasa bersedia untuk masa sukar, elakkan hutang berlebihan, rajin mencari peluang dan sentiasa melabur dalam diri sendiri. Tidak kira bagaimana dunia berubah, warisan kewangan daripada ayah tetap relevan untuk setiap generasi.
Artikel ini disediakan oleh loanbuddy, sebuah platform permohonan pinjaman peribadi dan pinjaman koperasi dalam talian dan pada yang sama, platform untuk anda belajar tentang asas kewangan. Semak tahap kesihatan kewangan anda dengan loanfit, agar anda dapat mengetahui situasi kewangan anda pada setiap masa, tanpa sebarang caj.
*Nota: Artikel ini adalah panduan umum dan boleh disesuaikan mengikut keperluan dan situasi masing-masing.
Perlukan Pinjaman Peribadi Atau Pinjaman Koperasi?
Loanbuddy Sedia Berkhidmat!
