Financial Independence, Retire Early (FIRE): Impian atau Kenyataan?

Gerakan Financial Independence, Retire Early (FIRE) telah menjadi pilihan gaya hidup yang menarik bagi ramai rakyat Malaysia yang ingin menakluki kewangan mereka dan bebas dari kitaran hidup kerja tradisional. Berakar umbi dalam prinsip pembinaan simpanan yang agresif dan pelaburan berhemat, FIRE menawarkan pilihan untuk bersara lebih awal, malah beberapa dekad sebelum umur persaraan konvensional. Walau bagaimanapun, pencapaian matlamat ini memberikan pelbagai cabaran dan peluang akibat persekitaran ekonomi negara, kos sara hidup dan infrastruktur kewangan negara.

Teroka konsep dan strategi di sebalik FIRE, bincang perihal cabaran khusus yang dihadapi oleh rakyat Malaysia, dan kaji bagaimana profesional dan individu tempatan menjadikan impian kewangan ini menjadi kenyataan.

  • Apa itu FIRE?

FIRE merupakan akronim untuk Financial Independence, Retire Early, sebuah gerakan yang mendapat momentum global sejak beberapa tahun ini. Ia menyokong kebebasan kewangan melalui pendekatan berdisiplin terhadap kewangan peribadi, menekankan penjimatan dari sebahagian besar pendapatan seseorang individu (sekitar 50%-70%) dan melaburkannya dalam aset penghasilan tinggi yang boleh menjana pendapatan pasif yang mencukupi untuk menampung perbelanjaan hidup seseorang tanpa batasan masa. Matlamatnya adalah untuk mengumpul kekayaan yang mencukupi agar seseorang individu tidak lagi perlu bergantung kepada pekerjaan untuk menampun berbelanjaan harian dan boleh bersara lebih awal, malah berdekad-dekad, lebih awal daripada umur persaraan konvensional.

Penyokong FIRE selalunya menggunakan 4% rule sebagai penanda aras. Peraturan ini mencadangkan bahawa jika anda mengeluarkan 4% daripada portfolio anda setiap tahun, simpanan anda akan bertahan sepanjang hayat anda, dan jumlah ini juga diselaraskan untuk mengambil kira inflasi. Sebagai contoh, jika perbelanjaan tahunan anda ialah RM40,000, anda memerlukan portfolio bernilai RM1 juta untuk mencapai kebebasan kewangan di bawah peraturan 4%

  • Kira Nombor FIRE Anda

Konsep teras FIRE ialah “nombor FIRE” – jumlah wang yang diperlukan dalam pelaburan untuk menampung perbelanjaan hidup tahunan anda tanpa batasan masa. Penentuan nombor ini mengambil kira gaya hidup persaraan yang anda inginkan, kadar inflasi yang dijangkakan dan pulangan pelaburan. Contohnya, menurut Simulator Matlamat Kewangan Maybank, rakyat Malaysia yang menyasarkan untuk bersara dengan simpanan RM1 juta perlu melabur RM1,432 sebulan bermula pada usia 22 tahun, andai pulangan pelaburan tahunan sebanyak 7%. Walau bagaimanapun, menunggu sehingga umur 30 tahun memerlukan pelaburan bulanan yang lebih tinggi pada RM3,000, memberi fokus kepada pentingnya bermula dari awal.

  • Landskap FIRE di Malaysia: Cabaran-cabaran

Malaysia menawarkan kelebihan dan cabaran yang unik untuk mereka yang mengejar FIRE ini. Dibandingkan dengan negara lain seperti Singapura atau Australia, kos sara hidup di Malaysia masih dianggap agak rendah. FIRE masih dapat dicapai, tetapi terdapat halangan untuk dipertimbangkan.

1. Tahap Pendapatan dan Ketaksamaan Kekayaan

Salah satu halangan penting untuk mencapai FIRE di Malaysia ialah tahap pendapatan yang agak rendah berbanding negara maju. Pekerjaan bergaji tinggi, terutamanya dalam teknologi atau kewangan, adalah kurang biasa di Malaysia, dan purata gaji adalah jauh lebih rendah berbanding di negara tempat pergerakan FIRE berasal, seperti Amerika Syarikat atau Eropah. Untuk dijadikan contoh, seorang profesional IT di Amerika Syarikat mungkin memperoleh gaji enam angka dan menabung secara agresif, peranan yang sama di Malaysia mungkin dibayar jauh lebih rendah, menjadikannya lebih mencabar untuk menyimpan 50%-70% dari pendapatannya.

Selain cabaran pendapatan, terdapat juga jurang kekayaan di Malaysia. Indeks Gini negara, iaitu indeks yang mengukur ketidaksamaan kekayaan, secara relatifnya kekal tinggi. Hal ini menunjukkan bahawa kekayaan tertumpi di tangan segelintir orang. Jurang ini boleh menyukarkan rakyat Malaysia untuk menggunakan strategi FIRE dan memaksa mereka untuk mengubah gaya hidup secara drastik atau menambah sumber pendapatan mereka.

2. Kos Sara Hidup

Kos sara hidup adalah berbeza merentasi seluruh Malaysia; pusat bandar seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang mempunyai kos sara hidup yang jauh lebih mahal jika dibandingkan dengan kawasan luar bandar. KOs sewa, pengangkutan, penjagaan kesihatan dan pendidikan ialah perbelanjaan utama yang boleh menghalang keupayaan seseorang untuk menyimpan secara agresif. Perumahan di kawasan bandar merupakan komitmen kewangan yang besar, dan harga hartanah yang tinggi menyukarkan golongan muda Malaysia untuk membeli rumah, apalagi menyimpan secara agresif untuk persaraan.

Selain itu, inflasi, terutamanya dalam sektor seperti penjagaan kesihatan dan pendidikan, menambahkan lagi tekanan ke atas usaha perancangan kewangan rakyat Malaysia. Menurut data Bank Negara Malaysia, inflasi telah meningkat secara berterusan, terutamanya dalam sektor penting seperti makanan dan penjagaan kesihatan.

3. Turun Naik Mata Wang dan Inflasi

Kelemahan Ringgit Malaysia (MYR) berbanding mata wang yang lebih kukuh seperti dolar Amerika Syarikat 9(USD) atau dolar Singapura (SGD) juga salah satu cabaran. Walaupun pelaburan tempatan dalam ekuiti, bon dan hartanah Malaysia boleh menjana pulangan, selalunya ia dalam MYR yang mungki kehilangan nilai berbanding mata wang asing. Hal ini menjadikan pelancongan antarabangsa atau pelaburan luar negara lebih mahal dan tidak mudak diakses oleh rakyat Malaysia yang mengejar FIRE.

4. Harapan Sosial dan Keluarga

Satu lagi cabaran yang dihadapi oleh rakyat Malaysia dalam mengejar FIRE ialah pendapat masyarakat. Norma budaya di Malaysia sering memberi penekanan kepada tanggungjawab keluarga, seperti menyediakan sokongan kewangan kepada ibu bapa yang semakin tua atau melabur dalam pendidikan anak-anak. Kewajipan ini boleh menyukarkan untuk memperuntukkan sebahagian besar pendapatan seseorang kepada simpanan dan pelaburan. Selain itu, terdapat jangkaan masyarakat untuk memiliki rumah dan mengekalkan standard gaya hidup tertentu yang boleh menghalang kadar simpanan agresif yang diperlukan untuk FIRE.

  • Strategi Mencapai FIRE di Malaysia

Di sebalik cabaran-cabaran ini, mencapai FIRE di Malaysia tidak mustahil jika menggunakan strategi yang tepat.

1. Kurangkan perbelanjaan secara agresif.

Salah satu langkah yang plaing kritikal ke arah mencapai FIRE ialah mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu. Ramai rakyat Malaysia yang mengejar FIRE mengamalkan gaya hidup minimalis, di mana mereka mengurangkan perbelanjaan seperti makan luar, hiburan dan pembelian barangan mewah. Dengan mengekalkan perbelanjaan yang rendah, mereka boleh menyimpan sebahagian besar pendapatan mereka dalam pelaburan masa depan.

Langkah praktikal yang lain juga termasuk memilih pilihan rumah mampu milik, menggunakan pengangkutan awam, memasak di rumah dan bukannya makan di luar. Selain itu, mereka juga mengelakkan hutang yang tidak perlu, terutamanya barangan mewah. Jika mereka ingin memiliki kereta sekalipun, mereka akan lebih cenderung membeli kereta terpakai dan bukannya yang terbaru. Malah, mereka mungkin yang melepaskan pemilikan kereta sepenuhnya dan hanya menggunakan pengangkutan awam. Dengan ini mereka boleh jimat sehingga ribuan ringgat setiap tahun.

2. Tingkatkan sumber pendapatan.

Memandangkan penjimatan 50%-70% daripada purata gaji Malaysia mungkin tidak mampu dilaksanakan bagi semua orang, satu lagi cara ialah dengan meningkatkan sumber pendapatan. Ramai rakyat Malaysia memperoleh sumber kedua, malah ada yang memperoleh tiga sumber pendapatan, melalui gig sampingan, freelancing atau perniagaan kecil. Sebagai contoh, sesetengah individu memanfaatkan platform digital untuk menawarkan perkhidmata secara global, memperoleh mata wang yang lebih kukuh seperti USD atau SGD.

Tambahan pula, mereka yang mempunyai kelayakan profesional boleh mencari peluang pekerjaan di luar negara, di mana gaji adalah lebih tinggi, atau mencari pilihan kerja dari rumah yang dibayar dalam mata wang asing. Meningkatkan pendapatan yang tinggi sambil memgekalkan perbelanjaan harian dalam MYR boleh mempercepatkan perjalanan ke arah kebebasan kewangan.

3. Melabur dengan bijak.

Pelaburan merupakan tonggak kritikal strategi FIRE, kerana ia membolehkan individu mengembangkan kekayaan mereka melalui faedah kompaun. Di Malaysia, terdapat pelbagai medium pelaburan yang disediakan, termasuk saham, bon, hartanah dan dana bersama. Selain itu, rakyat Malaysia boleh memanfaatkan akaun persaraan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang memberikan pulangan yang lebih stabil.

Mereka yang mengikuti FIRE mesti mempelbagaikan pelaburan mereka merentasi kelas aset yang berbeza agar lebih mudah untuk mengurus risiko dan memaksimumkan pulangan. Rakyat Malaysia boleh melabur dalam ekuiti global atau dana dagangan bursa (ETF) untuk mendapat pendedahan kepada pasaran antarabangsa yang boleh memberikan pulang yang lebih tinggi berbanding pelaburan tempatan.

4. Optimumkan kelebihan cukai.

Mengoptimumkan kelebihan cukai merupakan salah satu lagi faktor penting bagi mereka yang mengikuti FIRE. Rakyat Malaysia haruslah memanfaatkan sepenuhnya pelepasan cukai, rebat dan inisiatif yang disediakan oleh kerajaan, seperti pelepasan peribadi untuk caruman KWSP dan premium insurans. Menstrukturkan pelaburan dan sumber pendapatan dengan cara yang cekap boleh meningkatkan simpanan dengan ketara dan mempercepatkan laluan ke arah kebebasan kewangan.

  • Implikasi dari segi Emosi dan Sosial

Sesiapa yang pernah mencuba untuk mengejar FIRE atau kebebasan kewangan pasti faham bahawa ia memerlukan pertukaran cara berfikir dan mengubah prinsip peribadi apabila mengendalikan sesuatu perkara, bukan sahaja dari segi kewangan tetapi juga dalam gaya hidup harian dan interaksi sosial. Ramai rakyat Malaysia yang memulakan perjalanan FIRE menghadapi tentangan daripada rakan dan keluarga yang mungkin tidak memahami keputusan untuk hidup berjimat cermat atau menangguhkan peristiwa penting seperti membeli rumah atau mempunyai anak.

Selain itu, tumpuan yang mendalam terhadap kebebasan kewangan kadangkala boleh mengakibatkan keletihan. Mengimbangi keinginan untuk menyimpan secara agresif, bekerja berjam-jam dan menguruskan pelaburan boleh menjejaskan kesihatan mental. Beberapa penyokong FIRE Malaysia menekankan kepentingan keseimbangan – menikmati kehidupan sambil berusaha ke arah kebebasan kewangan. Tanpa keseimbangan ini, individu mungki mendapati diri mereka bebas dari segi kewangan tetapi letih secara emosi kerana sering terlepas pengalaman-pengalaman hidup yang orang lain sudah alami.

  • Jadi, adakah FIRE sesuai untuk semua orang?

Walaupun FIRE adalah konsep yang amat menarik, ia bukanlah penyelesaian universal untuk semua. Bukan semua orang dapat merealisasikan FIRE dan bersara beberapa dekad lebih awal. Perjalanan FIRE memerlukan tahap literasi kewangan, disiplin dan kesanggupan untuk hidup berjimat cermat yang mungkin tidak dapat dilaksanakan oleh semua orang. Bukan itu sahaja, kehidupan tidak dapat kita ramalkan, dan keadaan yang tidak dijangka – seperti kecemasan perubatan atau kewajipan keluarga – boleh mengganggu rancangan FIRE yang terbaik sekalipun.

Tambahan pula, untuk mencapai kebebasan kewangan itu memerlukan keupayaan untuk mengurus risiko scara berkesan, terutamanya dalam pelaburan. Bukan semua orang selesa dengan penurunan dan kenaikan yang wujud dalam pasaran saham, dan pilihan pelaburan yang lemah pula boleh menjejaskan matlamat FIRE.

Tetapi, walaupun kebebasan kewangan dan persaraan awal tidak dapat dicapai, menerima pakai prinsip tertentu pergerakan FIRE – seperti mengutamakan simpanan, mengurangkan hutang dan melabur dengan bijak – boleh meningkatkan keadaan kewangan seseorang dengan ketara dan memberikan kebebasan dan fleksibiliti yang lebih besar dalam kehidupan kelak.


Perlukan Pinjaman?
Semak Kelayakan Anda Sekarang!