Moratorium: Impak dan Pelaksanaannya

Konsep moratorium di Malaysia mendapat perhatian semasa peringkat awal pandemik COVID-19. Pada April 2020, Bank Negara Malaysia (BNM) memperkenalkan moratorium pinjaman automatik enam bulan untuk semua individu dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) sebagai sebahagian daripada pakej rangsangan ekonomi kerajaan yang lebih luas, yang juga dikenali sebagai Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat. Moratorium automatik, yang berlangsung dari April hingga September 2020, merupakan talian hayat kritikal, membolehkan peminjam menangguhkan bayaran balik pinjaman untuk seketika tanpa menjejaskan skor kredit mereka atau dikenakan penalti. Langkah ini menangguhkan pembayaran pinjaman seperti pinjaman rumah, pinjaman kenderaan, dan pinjaman peribadi.

  • Moratorium Lanjutan dan Pakej PEMULIH

Apabila pandemik pada ketika itu berterusan, Malaysia memperkenalkan skim moratorium tambahan. Pada tahun 2021, di bawah pakej pemulihan ekonomi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), kerajaan melanjutkan inisiatif moratorium pinjaman. Kali ini, ia terbuka kepada semua peminjam, termasuk golongan B40 dan PKS. Moratorium di bawah PEMULIH membenarkan peminjam menangguhkan pembayaran pinjaman selama enam bulan, meringankan beban kewangan yang disebabkan oleh gangguan ekonomi yang berpanjangan.

Dalam pada itu, moratorium ini tidak tertakluk kepada semua pinjaman, ia memerlukan peminjam untuk opt-in melalui bank masing-masing. Yang penting, semasa bayaran balik ditangguhkan, kadar faedah akan terus memberi impak kepada jumlah prinsipal pinjaman. Hal ini bermaksud, walaupun peminjam mendapat pelepasan jangka pendek, mereka akan menghadapi jumlah pembayaran balik yang lebih tinggi selepas tempoh moratorium berakhir.

  • Bagusnya Moratorium Ini...

  • Pelepasan Aliran Tunai yang Segera:

    Kebaikan paling segera yang dapat dilihat dari moratorium pinjaman adalah ruang pernafasan yang disediakan untuk peminjam yang menghadapi kehilangan pendapatan atau pendapatan mereka berkurangan. Dengan komitmen bulanan seperti pinjaman perumahan, pinjaman kenderaan dan pembayaran balik pinjaman peribadi yang tertunggak, keluarga boleh menggunakan dana kepada keperluan penting seperti barangan runcit, penjagaan kesihatan dan pendidikan.

  • Mengelakkan Kemungkiran Pinjaman:

    Moratorium membantu mencegah kemungkiran dan melindungi kedua-dua pihak peminjam dan pemberi pinjaman daripada kesan pinjaman yang tidak berbayar. Hal ini terutamanya amat kritikal bagi PKS yang bergelut untuk terus bertahan semasa keruntuhan ekonomi.

  • Perlindungan Penarafan Kredit:

    Penarafan kredit peminjam tidak akan terjejas sepanjang tempoh moratorium berjalan. Hal ini memastikan bahawa individu yang memilih penangguhan pinjaman tidak terkena impak atas profil kredit mereka.

  • Sokongan untuk PKS dan Usahawan:

    Moratorium juga memberikan kelegaan kepada PKS yang kebanyakannya berisiko menghadapi muflis akibat hasil yang semakin berkurangan. Dengan menangguhkan pembayaran pinjaman, perniagaan-perniagaan ini boleh menstabilkan kewangan mereka dan merancang untuk pemulihan.

  • Kelemahan dan Implikasi Jangka Panjang

  • Faedah Terkumpul:

    Walaupun moratorium menggantung bayaran balik pinjaman, faedah ke atas jumlah prinsipal akan terus terkumpul. Sebagai contoh, dalam konteks pinjaman rumah, peminjam menghadapi peningkatan dalam jumlah baki tertunggak disebabkan oleh faedah yang telah ditundakan sepanjang tempoh moratorium, dan akhirnya menyebabkan bayaran balik bulanan yang lebih tinggi sebaik sahaja tempoh moratorium tamat.

  • Tempoh Pinjaman Dilanjutkan:

    Peminjam yang tidak mampu membayar balik yang lebih tinggi selepas moratorium sering memilih untuk melanjutkan tempoh pinjaman mereka. Ini bermaksud walaupun mereka dapat pelepasan segera, mereka akan membayar balik pinjaman mereka untuk tempoh yang lebih panjang, justeru meningkatkan kos keseluruhan pinjaman.

  • Risiko Kebergantungan:

    Sesetengah pakar kewangan menyatakan kebimbangan bahawa moratorium boleh menggalakkan kebergantungan. Peminjam mungkin mengambil hutang tambahan atau menangguhkan perancangan kewangan yang diperlukan yang boleh menyukarkan mereka untuk memenuhi komitmen sebaik sahaja tempoh moratorium tamat.

  • Bahaskan: Patutkah Anda Mengambil Moratorium?

Sukar untuk menetapkan hanya satu kesimpulan apabila ditanya sama ada peminjam harus mengambil moratorium ini. Bagi mereka yang terjejas teruk oleh pandemik, penangguhan bayaran balik ini merupakan talian hayat yang penting dan memberi sedikit pelepasan untuk mengatur balik kewangan, untuk diri dan keluarga. Walaupun begitu, pakar seperti Vincent Kwo, Presiden Majlis Perancangan Kewangan Malaysia, menasihatkan peminjam yang mampu meneruskan bayaran balik pinjaman mereka agar tidak memilih moratorium. Beliau menegaskan bahawa faedah terkumpul dan tempoh pinjaman yang lebih panjang boleh menyebabkan komitmen kewangan yang lebih tinggi dalam jangka panjang.

Pada masa yang sama, ramai perancang kewangan mencadangkan bahawa bagi mereka yang menghadapi isu cash flow segera, moratorium adalah satu alternatif yang bijak. Ia membenarkan peminjam menyalurkan dana kepada perbelanjaan harian atau pelaburan, bergantung pada situasi kewangan mereka.

  • Dah cerita panjang lebar ini, moratorium masih ditawarkan ke?

Setakat tahun 2024, moratorium pinjaman yang dilaksanakan secara meluas di Malaysia semasa kemuncak pandemik COVID-19 tidak lagi tersedia. Namun begitu, bantuan kewangan bersasar masih ditawarkan oleh kebanyakan bank dan institusi kewangan untuk individu yang masih menghadapi kesukaran untuk membayar balik pinjaman mereka disebabkan cabaran kewangan yang berterusan.

Pada masa ini, bank menyediakan pilihan penstrukturan semula dan penjadualan semula pinjaman, serta moratorium secara selektif. Peminjam yang menghadapi kekangan kewangan akibat kehilangan pekerjaan, pengurangan pendapatan atau masalah peribadi masih boleh memohon untuk pilihan solusi ini, walaupun ia tidak diberikan secara automatik seperti pada fasa awal pandemik. Peminjam juga dinasihatkan untuk menghubungi bank untuk meneroka pilihan yang tersedia yang sesuai dengan situasi kewangan masing-masing.


Perlukan Pinjaman?
Semak Kelayakan Anda Sekarang!