
Pembelian Impulsif: Apa dan Bagaimana untuk Mengatasi?
Pernah tak bila tengah layan Shopee, TikTok shop, ataupun Lazada, dan nampak sesuatu barang dan kita rasa nak beli terus tanpa kisah pun tentang harga barang tersebut, tentang kemampuan kita untuk barang itu, dan juga situasi kewangan kita. Selalunya, selepas barang itu dah dibayar, baru timbul rasa menyesal kerana wang tidak cukup untuk menampung makan minum untuk hari-hari yang seterusnya. Inilah yang dikatakan pembelian impulsif.
Pembelian secara impulsif merujuk kepada tindakan membeli sesuatu secara spontan tanpa perancangan atau pertimbangan yang mendalam. Ia sering berlaku apabila seseorang terdorong oleh emosi, promosi jualan, atau keinginan mendadak untuk memiliki sesuatu. Lagi-lagi bila memiliki sesuatu dengan pembayaran Buy Now Pay Later (BNPL).
Dalam era moden ini, dengan kewujudan platform e-dagang dan iklan yang bersifat agresif, pembelian impulsif menjadi semakin biasa.

- Punca pembelian secara impulsif
Terdapat beberapa faktor utama yang mendorong seseorang untuk melakukan pembelian secara impulsif, antaranya:
-
Pengaruh emosi
Emosi memainkan peranan besar dalam keputusan pembelian. Rasa gembira, sedih, tertekan, atau bosan boleh mendorong seseorang untuk membeli sesuatu sebagai cara untuk mengatasi perasaan tersebut. Contohnya, seseorang yang sedang mengalami tekanan kerja mungkin terdorong untuk membeli barangan mewah sebagai ganjaran kepada diri sendiri. Self reward, katanya. -
Teknik pemasaran yang berkesan
Pengiklanan yang kreatif dan menarik dapat mempengaruhi pengguna untuk membeli tanpa berfikir panjang seperti promosi “beli satu percuma satu” atau diskaun terhad boleh menyebabkan seseorang merasa rugi jika tidak membeli. -
Kemudahan akses kepada pembelian dalam talian
Dengan perkembangan teknologi, pembelian kini boleh dilakukan dengan hanya beberapa klik di telefon pintar. Platform e-dagang menawarkan pelbagai pilihan produk dengan harga menarik, menjadikan pengguna lebih cenderung untuk membuat pembelian tanpa perancangan. -
Pengaruh media sosial
Selebriti dan ‘influencer’ sering mempromosikan produk melalui media sosial, menyebabkan pengikut mereka terdorong untuk membeli sesuatu berdasarkan trend atau gaya hidup yang dipaparkan. -
Faktor sosial dan budaya
Tekanan sosial juga boleh mendorong pembelian impulsif. Seseorang mungkin membeli sesuatu untuk menyesuaikan diri dengan rakan sebaya atau menunjukkan status sosial.
- Kesan pembelian secara impulsif
Walaupun kelihatan seperti satu tindakan kecil, pembelian impulsif ini boleh membawa kesan negatif dalam jangka masa yang panjang. Berikut adalah beberapa akibat yang mungkin dihadapi:
-
Masalah kewangan
Jika seseorang kerap membeli tanpa merancang, perbelanjaan mereka mungkin melebihi pendapatan, menyebabkan hutang yang tidak terkawal. -
Pembaziran wang dan sumber
Barangan yang dibeli secara impulsif sering kali tidak diperlukan atau jarang digunakan, menyebabkan pembaziran wang dan ruang penyimpanan. -
Rasa menyesal dan tekanan mental
Setelah melakukan pembelian, seseorang mungkin menyesal kerana menyedari bahawa mereka telah membelanjakan wang untuk sesuatu yang tidak penting. Ini boleh menyebabkan tekanan dan perasaan bersalah. -
Kurang kawalan diri
Jika tidak dikawal, pembelian impulsif boleh menjadi kebiasaan yang sukar dihentikan, menyebabkan ketagihan membeli-belah.Selebriti dan ‘influencer’ sering mempromosikan produk melalui media sosial, menyebabkan pengikut mereka terdorong untuk membeli sesuatu berdasarkan trend atau gaya hidup yang dipaparkan.

- Cara mengatasi pembelian secara impulsif
Untuk mengelakkan diri daripada terjerumus dalam tabuat pembelian impulsif beberapa langkah boleh diambil:
-
Buat senarai perbelanjaan
Sebelum keluar membeli-belah atau melayari laman web e-dagang, buat senarai barangan yang diperlukan dan patuhi senarai tersebut. -
Tetapkan bajet bulanan
Menentukan jumlah wang yang boleh dibelanjakan setiap bulan dapat membantu mengawal perbelanjaan. -
Elakkan godaan promosi dan diskaun
Jangan mudah terpengaruh dengan tawaran istimewa. Tanya diri sendiri sama ada anda benar-benar memerlukan barangan tersebut. -
Amalkan peraturan 24 jam
Sebelum membeli sesuatu, ambil masa sekurang-kurangnya 24 jam untuk berfikir sama ada pembelian itu berbaloi atau sekadar keinginan sementara. -
Guna kaedah pembayaran tunai
Membayar secara tunai boleh mengurangkan kecenderungan membeli secara impulsif berbanding menggunakan kad kredit yang memberi ilusi memiliki wang yang lebih banyak. -
Berhenti mengikuti akaun media sosial yang menggalakkan pembelian
Jika iklan atau promosi daripada akaun tertentu membuatkan anda sering tergoda untuk membeli, pertimbangkan untuk unfollow akaun tersebut. -
Fokus pada matlamat kewangan jangka panjang
Ingatkan diri tentang matlamat kewangan anda, seperti menyimpan untuk rumah, pelaburan, atau simpanan kecemasan, supaya anda lebih berdisiplin dalam perbelanjaan.

Pembelian secara impulsif merupakan satu cabaran dalam era moden ini, terutama dengan kemudahan membeli-belah dalam talian dan pengaruh media sosial. Namun, dengan kesedaran dan usaha yang berterusan, tabiat ini boleh dikawal.
Dengan mengamalkan perancangan kewangan yang baik, menetapkan bajet, dan mengelakkan godaan promosi, seseorang dapat mengurangkan pembelian impulsif dan menggunakan wang secara lebih bijak.
Oleh itu, penting untuk sentiasa berdisiplin dalam perbelanjaan agar dapat menikmati kehidupan yang lebih stabil dan sejahtera.
Disediakan oleh loanbuddy, sebuah platform permohonan pinjaman peribadi dan pinjaman koperasi dalam talian dan pada yang sama platform untuk anda belajar tentang asas kewangan. Semak tahap kesihatan kewangan anda dengan loanfit, agar anda dapat mengetahui situasi kewangan anda pada setiap masa, tanpa sebarang caj.
*Nota: Artikel ini adalah panduan umum dan boleh disesuaikan mengikut keperluan dan situasi masing-masing.
Perlukan Pinjaman?
Semak Kelayakan Anda Sekarang!
