
Tahap Pengetahuan Kewangan dalam kalangan Rakyat Malaysia
Berpengetahuan dalam bab kewangan sebenarnya sangat penting untuk seseorang individu malah masyarakat untuk mengurus sumber kewangan dengan berkesan dan memastikan kesejahteraan kewangan pada jangka masa yang panjang. Di Malaysia, literasi kewangan semakin diiktiraf sebagai isu yang penting, kerana sebahagian besar penduduk masih kurang pengetahuan dalam kemahiran asas kewangan. Walaupun usaha sedang dibuat untuk meningkatkan pendidikan kewangan di seluruh negara, tinjauan menunjukkan bahawa ramai rakyat Malaysia bergelut dalam perancangan kewangan, simpanan dan pelaburan. Maka, artikel ini meneroka tahap pengetahuan kewangan semasa di Malaysia, cabaran yang dihadapi oleh kumpulan demografi yang berbeza, dan inisiatif berterusan kerajaan untuk menangani isu tersebut.
- Literasi Kewangan Semasa di Malaysia
Sejak beberapa tahun ini, literasi kewangan di Malaysia telah sedikit sebanyak bertambah baik, tetapi masih terdapat banyak ruang untuk berkembang. Laporan oleh RinggitPlus Malaysian Financial Literacy Survey (RMFLS) 2023 mendedahkan bahawa ramai rakyat Malaysia menghadapi cabaran dalam kewangan. Sebagai contoh, 71% reponden mengaku menyimpan kurang daripada RM500 sebulan manakala hampir separuh (44%) responden wanita belum melabur untuk masa depan mereka. Angka-angka ini mencerminkan trend yang membimbangkan kerana simpanan dan pelaburan adalah penting untuk kestabilan kewangan jangka panjang.
Di sebalik cabaran-cabaran ini, tinjauan ini juga memberi fokus kepada beberapa penemuan yang memberangsangkan, terutamanya dalam kalangan golongan muda Malaysia. Kira-kira 48% responden Gen-Z telah mula melabur, dan hal ini menunjukkan kesedaran kewangan dalam kalangan generasi muda semakin meningkat. Walaubagaimanapun, jurang perbezaan masih wujud merentas kumpulan umur dan jantina, dengan wanita dan individu yang lebih tua menunjukkan tahap kesediaan kewangan yang lebih rendah.

1. Perancangan kewangan dan persediaan persaraan yang terhad
Salah satu cabaran utama ialah kekurangan perancangan persaraan. Walaupun lelaki secara amnya mempunyai perancangan yang lebih baik, wanita cenderung untuk tertinggal dari aspek pelaburan dan persediaan kewangan untuk bersara. Hanya 51% responden wanita menyatakan bahawa mereka telah mula merancang untuk persaraan mereka, berbanding 61% lelaki. Hal ini menekankan keperluan untuk program pendidikan kewangan, terutamanya dari segi simpanan dan pelaburan jangka panjang.
2. Tahap hutang yang tinggi dan tabiat menabung yang lemah
Sebahagian besar rakyat Malaysia, merentasi pelbagai kumpulan umur, bergelut dalam hal menabung dan menguruskan hutang. Kos sara hidup yang tinggi, ditambah dengan gaji yang tidak stabil, menyukarkan ramai orang untuk mengetepikan sebahagian pendapatan mereka untuk kecemasan atau keperluan masa depan. Menurut Bank Negara Malaysia, hutang isi rumah di Malaysia kekal antara yang tertinggi di rantau Asia Tenggara, memburukkan lagi tekanan kewangan. Pada tahun 2023, tinjauan melaporkan 35% responden tidak mampu untuk menabung dengan kerap, manakala 22% responden menggunakan pinjaman peribadi untuk menampung perbelanjaan harian.
3. Jurang literasi kewangan dalam kalangan golongan terpinggir
Literasi kewangan adalah lebih rendah dalam kalangan golongan demografi tertentu, seperti golongan penduduk luar bandar dan individu daripada isi rumah berpendapatan rendah. Golongan ini sering kekurangan akses kepada pendidikan kewangan formal dan lebih terdedah kepada penipuan dan jenayah kewangan. Usaha untuk meningkatkan literasi kewangan di Malaysia telah dilakukan untuk golongan tersasar ini, namun pendekatan yang lebih komprehensif amatlah diperlukan untuk memastikan setiap individu mempunyai akses kepada pengetahuan dan alat kewangan.
- Inisiatif Kerajaan dan Sektor Swasta
Untuk memerangi cabaran-cabaran ini, kedua-dua sektor kerajaan dan swasta telah melancarkan inisiatif yang bertujuan untuk meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia. Pada 2016, Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN), platform kerjasama antara Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC), memperkenalkan Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan (2019-2023). Strategi ini memberi tumpuan kepada 5 tonggak utama:
(1) memupuk nilai kewangan dari usia muda (bawah umur 18 tahun);
(2) meningkatkan akses kepada alat dan sumber pengurusan kewangan;
(3) menyemai tingkah laku kewangan yang positif;
(4) mempromosikan perancangan kewangan jangka panjang; dan
(5) membina dan melindungi kewangan.
Institusi kewangan seperti Maybank juga telah menyertai usaha untuk meningkatkan literasi kewangan. Awal tahun ini, Maybank telah melancarkan alat Goal-Based Investment, yang mendidik pengguna tentang perancangan kewangan dan menyediakan pilihan pelaburan yang senang untuk diakses. Alat sedemikian menawarkan nasihat khusu untuk membantu individu menyelaraskan keputusan kewangan mereka sesuai dengan matlamat jangka panjang mereka, dengan itu menyumbang kepada usaha literasi kewangan yang lebih luas.

- Literasi Kewangan dalam Era Digital
Dengan kebangkitan pesat perbankan digital dan e-dagang, rakyat Malaysia semakin terlibat dengan teknologi kewangan (fintech). Walaupun platform ini menawarkan peluang untuk pengurusan kewangan yang lebih baik, ia juga memberi cabaran baharu dari segi memahami produk kewangan digital dan mengelakkan penipuan. Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) ditubuhkan untuk membantu memerangi ancaman penipuan kewangan yang semakin meningkat, seterusnya menekankan keperluan untuk literasi kewangan secara digital.
Syarikat fintech juga telah menyumbang kepada promosi literasi kewangan dengan menawarkan kandungan pendidikan dan alatan yang menggalakkan tabiat kewangan yang lebih baik. loanbuddy, sebuah platform dan ruangan perkongsian dan perkembangan ilmu kewangan, juga menyumbang dalam usaha meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan golongan muda, memegang slogan ‘Literasi untuk Realiti’ – tingkatkan literasi kewangan untuk membantu realiti anda. Terdapat banyak lagi syarikat fintech yang bekerjasama dengan institusi kewangan untuk menghasilkan kandungan untuk mencapai matlamat yang sama.
- Konklusi
Walaupun tahap literasi kewangan di Malaysia bertambah baik, namun ia masih kekal menjadi suatu kebimbangan. Kurangnya pengetahuan dan kemahiran asas kewangan boleh menyebabkan keputusan kewangan yang lemah, tahap berhutang yang tinggi, dan simpanan yang tidak mencukupi untuk kecemasan atau persaraan. Walaubagaimanapun, usaha tanpa henti oleh kerajaan, institusi kewangan dan inisiatif sektor swasta semakin maju dalam menangani cabaran ini. Dengan memberi tumpuan kepada pendidikan kewangan, terutamanya dalam kalangan golongan yang lebih muda, Malaysia sedang menuju ke arah mewujudkan masyarakat yang lebih celik kewangan dan berdaya tahan.
Mulai sekarang, usaha yang berterusan amat diperlukan untuk merapatkan jurang dalam pengetahuan kewangan, terutamanya dalam menghadapi landskap kewangan yang berkembang dan cabaran digital. Dengan campur tangan yang bersasar dan komitmen untuk meningkatkan literasi kewangan, Malaysia dapat menghasilkan penduduk yang lebih bersedia untuk masa depan kewangan yang terjamin.
Perlukan Pinjaman?
Semak Kelayakan Anda Sekarang!
