
6 Aspek Utama Literasi Kewangan
Bila topik kewangan dibahaskan atau dibincangkan di media sosial, pandangan dari setiap individu adalah sangat unik. Setiap pengalaman juga sangat berbeza kerana setiap orang datang dari pelbagai industri kerjaya, mempunyai pendapatan yang berbeza, dan mempunyai komitmen yang berlainan. Namun demikian, setiap orang ingin mencapai matlamat yang sama: bebas hutang, simpanan berlimpah, dan hidup tanpa beban kewangan. Maka, literasi kewangan sangatlah penting dalam konteks ini.
Menguasai semua aspek-aspek ini dapat membantu dalam membuat keputusan bermaklum, mencapai FIRE, dan membina masa depan yang terjamin untuk diri dan keluarga.

1. Pengurusan Bajet dan Perbelanjaan
- PELAN BAJET ANDA SEJURUS GAJI DITERIMA
Antara cara yang seringkali dicadangkan adalah membahagikan pendapatan anda kepada nisbah 50:30:20 - 70% pendapatan untuk keperluan, 20% pendapatan untuk kemahuan, dan 20% untuk simpanan dan bayaran balik hutang. Namun, perlu difahamkan bahawa nisbah ini bukanlah one-size-fits-all. Atur ikut pendapatan dan kemampuan anda.
- Tetapkan matlamat kewangan anda.
Cara lain yang anda boleh pakai adalah dengan membahagikan pendapatan anda berdasarkan kategori yang berbeza: keperluan (sewa, bil air dan api, dll.), kemahuan (makan luar, pelan langganan bulanan, dll.), atau simpanan (simpanan kecemasan, pelaburan, dll.) Menetapkan matlamat jangka masa panjang dan pendek memastikan anda tidak terkeluar dari matlamat yang ditetapkan.
- Atur balik bajet jika perlu.
Bajet anda hendaklah fleksibel kerana situasi kewangan anda boleh berubah dalam sekelip masa sahaja. Menganalisis tabiat perbelanjaan dengan kerap memastikan anda dapat mengenal pasti tabiat yang anda boleh kurangkan dan jimat lebih.
2. Simpanan dan Pelaburan
- Bina simpanan kecemasan.
Tetapkan matlamat untuk simpan sebanyak 3-6 bulan perbelanjaan dalam akaun yang mempunyai kadar faedah yang tinggi. Simpanan ini bertujuan untuk memberi anda ketenangan sekiranya berlaku situasi yang memerlukan. Tidaklah anda panik kerana terdapat duit sampingan yang anda boleh guna serta-merta. Pastikan anda tidak menyentuh simpanan ini langsung dan hanya digunakan pada situasi kecemasan.
- Tetapkan pemindahan automatik.
Tetapkan pemindahan automatik dari akaun bank ke akaun simpanan anda. Hal ini memastikan anda dapat mengetepikan sebahagian pendapatan anda tanpa perlu banyak berfikir. Automatik sahaja!
- Fahami pelbagai pilihan pelaburan.
Saham, bon, dana bersama, dana dagangan saham (ETF) dan hartanah merupakan antara medium pelaburan yang biasa digunakan. Setiap satu datang dengan risiko dan ganjarannya sendiri. Namun, mempelbagaikan portfolio pelaburan anda boleh mengurangkan risiko.
3. Pengurusan Hutang
- Ketahui hutang anda.
Simpan rekod yang jelas tentang semua hutang tertunggak, termasuk baki, kadar faedah dan pembayaran minimum. Memahami jumlah beban hutang anda ialah langkah pertama dalam membuat rancangan untuk bayaran balik yang konsisten.
- Utamakan hutang berfaedah tinggi dahulu.
Bayar hutang berfaedah tinggi dahulu (sepeti kad kredit) kerana ia mengumpul paling banyak faedah dari semasa ke semasa. Strategi seperti kaedah avalanche (membayar kadar faedah tertinggi dahulu) atau kaedah snowball (membayar baki terkecil dahulu) boleh membantu, bergantung dengan jenis faedah hutang anda.
- Menyatukan atau biayai semula hutang.
Jika anda mempunyai pelbagai hutang dengan faedah yang tinggi, anda boleh pertimbangkan untuk menyatukannya menjadi pinjaman yang berfaedah lebih rendah. Pembiayaan atau penyatuan hutang merupakan salah satu plihan yang membantu mengurangkan bayaran bulanan atau kadar faedah anda.

4. Perancangan dan Perlindungan Persaraan
- Mula dari awal.
Seperti pelaburan, lebih awal anda mula menyimpan untuk persaraan, lebih banyak masa pelaburan anda berkembang. Walaupun anda menyumbang dalam jumlah yang kecil, faedah kompaun boleh meningkatkan simpanan anda dengan ketara dari semasa ke semasa.
- Menyumbang kepada akaun persaraan.
Gunakan akaun persaraan seperti KWSP. Akaun ini menawarkan kadar dividen yang tinggi. Pada tahun 2023 sahaja, agihan kadar dividen adalah 5.35% bagi simpanan konvensional. Manfaatkan kadar dividen yang tinggi untuk penyimpanan yang lebih cekap untuk persaraan anda.
- Kira keperluan persaraan anda.
Anggarkan jumlah wang yang anda perlukan selepas anda bersara kelak dengan mempertimbangkan perbelanjaan masa depan anda, matlamat gaya hidup dan kos penjagaan kesihatan. Kalkulator persaraan dalam talian boleh membantu anda membuat sasaran simpanan.
5. Insurans dan Pengurusan Risiko
- Fahami terma polisi.
Sentiasa baca cetakan halus mana-mana polisi insurans untuk memahami perkara yang dilindungi dan apa yang tidak dirangkumkan. Pastikan had perlindungan anda mencukupi untuk menampung keperluan anda.
- Dapatkan insurans hayat jika anda mempunyai tanggungan.
Insurans boleh memberikan perlindungan kewangan untuk keluarga atau tanggungan anda sekiranya anda meninggal dunia. Sekurang-kurangnya mereka mempunyai sedikit sebanyak sokongan jika anda merupakan sokongan utama mereka.
- Semak semula polisi anda setiap tahun.
Setiap insurans mempunyai terma dan syarat yang tersendiri. Berdasarkan perubahan kehidupan anda – seperti membeli rumah, kelahiran anak atau pertukaran kerjaya – anda perlu melaraskan perlindungan insurans anda dan mungkin boleh naiktarafkan polisi insurans anda, jika mampu.
6. Memahami Produk Kewangan
- Selidik sebelum menambah komitmen.
Sentiasa selidik produk kewangan sebelum menggunakannya. Perkara yang anda perlu selidik termasuklah yuran, kadar faedah dan terma dan syarat produk tersebut. Contohnya, apabila memilih kad kredit, bandingkan kadar faedah, yuran tahunan dan program ganjaran untuk memanfaatkan kebaikan kad kredit tersebut.
- Baca fine print.
Produk kewangan selalunya disertakan dengan bayaran yang tersembunyi atau terma yang rumit. Berwaspada, hal ini boleh menjerat anda ke dalam lubang hutang jika anda tidak pedulikannya. Membaca amalan mulia, maka hendaklah baca semua kontrak dengan teliti untuk mengelakkan kejutan.
- Ketahui hak anda.
Sentiasa berhati-hati dan sedar akan hak pengguna anda apabila berurusan dengan pihak bank, pemberi pinjaman atau firma pelaburan. Memahami perlindungan seperti Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) atau perlindungan penipuan kad kredit boleh memastikan anda selamat.
Konklusi
Literasi kewangan adalah sangat penting untuk mencapai kestabilan dan kejayaan dalam dunia hari ini. Dengan menguasai 6 aspek utama ini – pengurusan belanjawan dan perbelanjaan, simpanan dan pelaburan, pengurusan hutang, perancangan dan perlindungan persaraan, pengurusan insurans dan risiko serta memahami produk kewangan – anda boleh mengawal masa depan kewangan anda.
Perlukan Pinjaman?
Semak Kelayakan Anda Sekarang!
