
Apa Beza: Pinjaman Bercagar & Pinjaman Tidak Bercagar
Bila bercerita pasal pinjaman, kita kena faham jenis pinjaman yang ada. Yalah, kita nak pinjam duit dan perlu bayar balik duit tersebut dengan bunga, mestilah tahu jenis pinjaman yang ada. Nanti terpinjam dengan ah long pulak, atau kena scam , takut!
Di sini, kita akan faham dua jenis pinjaman utama, iaitu pinjaman bercagar dengan pinjaman tidak bercagar. Apa itu dan pinjaman apa yang tertakluk di bawah pinjaman jenis ini?

- Pinjaman bercagar itu apa?
Pinjaman bercagar merujuk kepada pinjaman yang memerlukan sesuatu aset di mana aset tersebut dipakai sebagai jaminan pinjaman. Contoh aset yang dimaksudkan adalah hartanah, kenderaan, atau simpanan tetap peminjam.
Dengan logik ini, pinjaman bercagar adalah sebuah kategori pinjaman untuk pinjaman seperti pinjaman perumahan, pinjaman kenderaan, dan sebagainya.
Namun, risiko kepada peminjam adalah, jika gagal membayar, pihak bank ataupun pemberi pinjaman boleh mengambil alih aset cagaran tersebut untuk menampung kerugian. Jadi, untuk setiap pinjaman yang memerlukan cagaran, peminjam harus berdisiplin dalam melakukan pembayaran balik.
Tapi, yang bagusnya pinjaman bercagar ini, kadar faedah biasanya lebih rendah kerana risiko kepada pihak pemberi pinjaman adalah lebih kecil, sebab peminjam akan lebih cenderung untuk mengutamakan hutang yang bercagar – risau pula nanti kalau tak bayar, dah tak ada rumah untuk didiami atau tak ada kereta untuk dipakai turun balik kerja.

- Pinjaman Tidak Bercagar pula apa?
Sebaliknya untuk pinjaman tidak bercagar, seperti namanya, pinjaman ini tidak memerlukan aset sebagai jaminan. Dalam hal ini, pihak pemberi pinjaman bergantung kepada sifat amanah dan penilaian kredit peminjam.
Macam bagus kan? Tapi, untuk pinjaman yang tidak menggunakan cagaran ini, risikonya terletak kepada peminjam. Tindakan undang-undang, penyenaraian hitam, atau penurunan skor kredit akan dikenakan ke atas peminjam jika peminjam lalai dalam melakukan pembayaran balik pinjaman yang telah dimohon dan diluluskan. Pandai pinjam, mestilah pandai bayar balik, betul?
Kadar faedah untuk pinjaman jenis ini juga adalah lebih tinggi kerana risiko peminjam adalah lebih besar. Biasanya, pinjaman tidak bercagar adalah seperti kad kredit, pinjaman peribadi yang tidak bercagar, dan overdraf bank. Jadi, peminjam perlu peka dengan pinjaman yang dimohon.
- Tips paling utama: selidik sebelum mohon
Bukan sahaja kita perlu selidik pemberi pinjaman, kita juga perlu peka dengan kebolehan kita untuk meminjam dan membayar balik pinjaman yang kita dah dapat. Periksa kesihatan kewangan, pastikan skor kredit anda di tahap yang sihat dan anda mampu melakukan pembayaran balik pinjaman. Anda boleh menggunakan kalkulator pinjaman kami untuk melihat anggaran bayaran balik bulanan.
Kami faham terdapat banyak sebab kenapa kita mengambil pinjaman, tidak kisah pinjaman peribadi ataupun pinjaman lain. Namun, kita harus sentiasa sedar akan keputusan kita – semakin tinggi nilai pinjaman yang kita inginkan, semakin tinggi nilai bayaran balik bulanan yang kita harus lakukan.
Perlukan Pinjaman?
Semak Kelayakan Anda Sekarang!
