
Waspada akan 6 Taktik Scam Ini!
Skim penipuan merupakan skim yang mengelirukan bertujuan untuk menipu individu untuk mendapatkan wang, maklumat peribadi atau sumber bernilai yang lain. Dalam dunia yang kian digital, scam juga semakin canggih dan menjejaskan berjuta-juta orang di seluruh dunia.
Menurut Polis Diraja Malaysia (PDRM), rakyat Malaysia mengalami kerugian lebih RM5.2 bilion akibat penipuan scam antara tahun 2021 dan 2022. Daripada penipuan dalam talian kepada penipuan telefon, ancaman ini menyasarkan individu dari semua lapisan masyarakat. Memahami jenis penipuan scam, cara ia beroperasi, dan perkara yang anda boleh lakukan untuk melindungi diri anda adalah penting dalam mengelak daripada menjadi mangsa.
- 1. Macau Scam
Salah satu penipuan yang paling terkenal di Malaysia ialah Macau Scam. Dalam penipuan ini, scammer menyamar sebagai pegawai daripada agensi kerajaan seperti polis, kastam atau Bank Negara Malaysia (BNM). Mereka memanggil mangsa dan mendakwa akaun mereka terlibat dalam aktiviti jenayah, menuntut pembayaran segera jika enggan dikenakan tindakan undang-undang.

Ingat: Agensi kerajaan tidak akan meminta bayaran atau butiran bank melalui telefon. Sahkan tuntutan pemanggil dengan menghubungi terus pihak berkuasa yang berkaitan. Jangan sekali-kali memindahkan wang ke akaun yang tidak dikenali berdasarkan panggilan telefon.
- 2. Scam Penghantaran
Dalam scam penghantaran, scammer menyamar sebagai khidmat penghantaran atau pegawai kastam. Mereka memberitahu mangsa bahawa bungkusan yang dihantar dari luar negara mengandungi barang haram, seperti dadah atau wang tunai yang tidak diisytiharkan, dan menuntut bayaran untuk pelepasan atau untuk mengelakkan pendakwaan.
Ingat: Sahkan sebarang penghantaran yang tidak dijangka dengan menghubungi kurier atau khidmat kastam secara terus. Jangan sekali-kali memberikan maklumat peribadi atau kewangan kepada pemanggil yang tidak dikenali.
- 3. Scam E-Wallet dan Perbankan Dalam Talian
Memandangkan lebih ramai orang menggunakan khidmat e-dompet dan khidmat perbankan dalam talian, scammer mengalihkan tumpuan mereka kepada platform-platform ini. Mangsa menerima mesej atau panggilan palsu yang mendakwa e-dompet atau akaun bank mereka telah terjejas atau dihack. Scammer kemudian meyakinkan mereka untuk mengongsikan kata laluan OTP atau butiran akaun untuk “menyelamatkan” akaun mereka.

Ingat: Jangan sekali-kali berkongsi bukti kelayakan OTP atau log masuk anda dengan sesiapa pun. Sentiasa semak pautan URL laman web sebelum memasukkan sebarang maklumat peribadi. Hubungi pembekal e-dompet atau bank anda melalui saluran rasmi jika anda mengesyaki penipuan.
- 4. Scam Pekerjaan
Penipuan pekerjaan adalah perkara biasa di Malaysia, terutamanya di platform media sosial seperti Facebook atau WhatsApp. Scammer menyiarkan tawaran kerja palsu, menjanjikan pekerjaan bergaji tinggi yang memerlukan usaha yang minimum, dan meminta “yuran pemprosesan” pendahuluan atau butiran peribadi seperti nombor IC atau maklumat akaun bank anda.
Ingat: Berhati-hati dengan tawaran kerja yang kelihatan terlalu bagus. SElidik syarikat dan sahkan penyenaraian kerja di platform pekerjaan yang sah seperti JobStreet atau LInkedIn. Majikan yang sah tidak akan meminta bayaran untuk mendapatkan pekerjaan.
- 5. Scam Cinta
Scam percintaan sering menyasarkan rakyat Malaysia pada aplikasi temu janji atau platform media sosial. Scammer membina hubungan yang romantis dengan mangsa dari semasa ke semasa, dan akhirnya meminta bantuan kewangan dengan alasan kecemasan peribadi atau pelaburan perniagaan. Selepas berbulan-bulan bersembang dengan mangsa dalam talian, mereka mendakwa memerlukan wang untuk perubatan atau perniagaan yang gagal. Namun, selepas mangsa menghantar wang, scammer akan terus hilang bersama dengan wang itu.
Ingat: Berhati-hati dengan individu yang menyatakan cinta atau kasih sayang dengan terlalu cepat. Jangan sekali-kali menghantar wang atau maklumat peribadi kepada seseorang yang belum anda temui secara langsung. Perhatikan percanggahan dalam cerita atau tingkah laku mereka, seperti mengelak dari panggilan video atau enggan bertemu secara peribadi.
- 6. Scam Pelaburan dan Skim Ponzi
Scam pelaburan menjanjikan pulangan yang tinggi dengan risiko yang minimum. Skim Ponzi, khususnya, menarik pelabur dengan membayar pulangan menggunakan wang daripada pelabur baharu. Skim ini sering runtuh apabila scammer tidak dapat menarik pelabur baharu. Sebagai contoh, anda dijemput untuk melabur dalam skim pulangan tinggi yang menjamin keuntungan 20% dalam masa sebulan. Walau bagaimanapun, sebaik sahaja anda melabur, skim itu ditutup, dan anda kehilangan wang anda.
Ingat: Sentiasa bersikap was-was terhadap sebarang pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi yang terjamin tanpa risiko. Sahkan kesahihan platform pelaburan dengan agensi seperti Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC). Elakkan peluang pelabuaran yang tidak diminta, terutamanya di media sosial.
Kes penipuan di Malaysia semakin membimbangkan, tetapi dengan inisiatif untuk mengikuti berita semasa dan mengambil langkah yang proaktif, anda dapat melindungi diri anda daripada menjadi mangsa. Sentiasa sahkan dakwaan yang mencurigakan, lindungi maklumat peribadi anda dan laporkan penipuan kepada pihak berkuasa. Melalui kesedaran ini, anda boleh melindungi wang hasil titik peluh dan keselamatan anda daripada scammer.
Perlukan Pinjaman?
Semak Kelayakan Anda Sekarang!
