
5 Jenis Pinjaman di Malaysia
- Keputusan, keputusan, keputusan!
Membuat sesuatu keputusan lumrah hidup, namun kadang-kadang, bila lihat pelbagai pakej pinjaman yang diiklankan oleh institusi kewangan perbankan mahupun institusi kewangan bukan perbankan, boleh rambang mata jadinya!
Jadi, jom kita sama-sama memahami pinjaman apa yang biasa orang kita mohon dan selalu kita dengar.

- Pinjaman Peribadi
Pinjaman peribadi ini memang biasa sangat kita dengar. Tapi tahukah anda pinjaman ini ada dua (2) jenis?
Pinjaman peribadi ini merujuk kepada pinjaman yang diberikan kepada seseorang individu yang memerlukan individu tersebut melakukan pembayaran balik pada jumlah yang tetap setiap bulan bagi sesuatu tempoh.
Pinjaman ini terbahagi kepada dua jenis, iaitu pinjaman bercagar dan pinjaman tanpa cagaran. Apa beza kedua-dua pinjaman ini?
Pinjaman bercagar memerlukan aset seperti tanah, rumah, kereta, atau mana-mana aset sebagai jaminan atas pinjaman. Jika peminjam gagal melakukan bayaran balik, ini akan mengakibatkan aset mereka ditarik balik.
Pinjaman tanpa cagaran pula tidak memerlukan sebarang aset, namun kadar faedah yang dikenakan adalah lebih tinggi berbanding kadar faedah pinjaman bercagar. Jika peminjam gagal membayar balik pinjaman, pihak bank diberi kebenaran untuk mengenakan tindakan undang-undang ke atas peminjam.
Ada juga yang dinamakan pinjaman Islamik, di mana pinjaman ini patuh Syari’ah berdasarkan prinsip seperti Murabahah ataupun Tawarruq.

- Pinjaman Perumahan
Tengah survey rumah? Inilah jenis pinjaman yang asas anda perlu tahu.
Ada pinjaman jangka asas (term loan), ada yang semi-flexi, ada yang jenis flexi penuh, dan ada juga yang menggunakan pembiayaan Islamik.
Untuk pinjaman jangka asas ini, pembayaran balik adalah tetap dengan kadar faedah yang tetap juga ataupun berubah.
Pinjaman secara semi-flexi pula pinjaman di mana peminjam boleh memilih untuk membayar deposit pada jumlah pinjaman tanpa mengikuti jadual yang tetap. Maka, pinjaman ini membolehkan peminjam untuk melunaskan jumlah pinjaman dengan lebih awal!
Bagi pinjaman secara flexi penuh pula menawarkan fleksibiliti yang lebih tinggi berbanding pinjaman semi-flexi tadi. Ini bermakna peminjam boleh membuat pembayaran tambahan atau mengeluarkan lebihan wang dari pinjaman perumahan serta-merta, tanpa menerusi prosedur kelulusan dengan pihak bank.
Ketiga-tiga pinjaman ini merupakan pinjaman konvensional yang selalu digunapakai oleh peminjam. Satu lagi pinjaman selain daripada pinjaman ini ialah pinjaman pembiayaan Islamik (Islamin home financing).
Pembiayaan Islamik ini menggunakan konsep Murabahah di bawah prinsip Syari’ah dan berasaskan Islam.

- Pinjaman Kereta (Hire Purchase)
Apa yang anda perlu tahu tentang pinjaman kereta? Selalunya orang akan bayar cash bila beli kereta second-hand atau kereta terpakai. Bila nak beli kereta yang baru, orang akan mohon pinjaman.
Jadi adakah pinjaman kereta sama dengan pinjaman perumahan di mana ianya mempunyai pinjaman konvensional dengan pinjaman Islamik?
Konsep pinjaman untuk kereta lebih kurang sama sahaja dengan konsep pinjaman perumahan tadi. Dalam konteks pinjaman kereta ini, pihak bank menyediakan dana kepada peminjam dengan jangkaan pembayaran bersama dengan faedah.
Untuk pinjaman kereta secara Islamik pula, ia patuh Syari’ah dan berfungsi berdasarkan konsep Al Ijarah Thumma Al Bai (AITAB) dan Murabahah, di mana kedua-dua konsep ini tidak menggunakan faedah dan mengutamakan transaksi beraset.

- Pinjaman Perusahaan
Untuk anda yang ingin atau tengah mencari pinjaman untuk perniagaan anda, banyak pilihan disediakan khas untuk para peniaga. Jadi, bolehlah teroka 4 jenis pinjaman di bawah ini.
Pinjaman berjangka untuk bentuk pinjaman yang diberikan kepada perniagaan untuk tujuan tertentu, seperti pembelian aset tetap, pembinaan premis, atau untuk mengembangkan perniagaan.
Pinjaman dagang pula untuk menyokong keperluan kewangan yang berkaitan dengan perdagangan, termasuk import dan eksport. Ia membantu perniagaan dalam mengurus aliran tunai semasa menunggu bayaran dari pelanggan atau membayar pembekal.
Pinjaman untuk Perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS) pula ditujukan kepada perniagaan kecil dan sederhana yang merangkumi majoriti perniagaan di Malaysia. Pinjaman ini boleh digunakan untuk pelbagai tujuan, seperti modal kerja, pembelian mesin, atau pemasaran.
Satu lagi ialah pinjaman perusahaan Islamik yang melarang riba (faedah) – sesuai untuk perusahaan yang ingin mematuhi prinsip Islam, seperti prinsip Murabahah, Mudarabah, Ijarah dan Musharakah.

- Pinjaman Pendidikan
Bila berbincang tentang pinjaman pendidikan, PTPTN tidak pernah lekang dari mulut orang. Namun, jika ingin mendapat pinjaman pendidikan yang lain, apa salahnya?
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) merupakan badan utama dari inisiatif kerajaan untuk menyediakan pinjaman pendidikan kepada pelajar Malaysia agar mereka dapat melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) atau swasta (IPTS).
Kadar faedah yang dikenakan adalah paling rendah iaitu pada 1% dan pembayaran balik diharuskan selepas tamat pengajian dengan tempoh fleksibel sehingga 20 tahun, bergantung kepada jumlah pinjaman.
Selain itu, pinjaman MARA juga disediakan oleh Majlis Amanah Rakyat untuk pelajar, terutamanya mereka yang ingin belajar dalam bidang teknikal dan vokasional.
Pinjaman ini juga boleh diubah menjadi biasiswa penuh bergantung pada prestasi akademik pelajar. Namun, pinjaman ini terhad kepada pelajar Bumiputera sahaja dan sangatlah kompetitif, terutama untuk program luar negara.
Selain daripada pinjaman PTPTN dan MARA, pinjaman pendidikan juga ditawarkan oleh institusi kewangan swasta seperti bank dan koperasi, seperti Maybank Education Loan, RHB Education Loan, Bank Rakyat Education Loan, dan sebagainya.
Namun, kadar faedah yang ditetapkan adalah lebih tinggi berbanding pinjaman kerajaan, iaitu dalam julat 4% hingga 8%, bergantung kepada tempoh bayaran balik. Tapi, yang bagusnya pinjaman swasta ialah proses kelulusan adalah lebih cepat dan boleh digunakan untuk pelbagai peringkat pendidikan termasuk kursus profesional dan sijil.
- Selidik sebelum meminjam!
Memang banyak jenis pinjaman yang disediakan untuk tujuan yang tersendiri, namun peminjam mempunyai tanggungjawab untuk menyelidik yang mana satu sesuai untuk mememuhi tujuan pinjaman tersebut.
Perlukan Pinjaman?
Semak Kelayakan Anda Sekarang!
